Wednesday 5 September 2012

ISU: GURU ROTAN MURID


“Patut atau tidak pelajar sekolah dirotan?”




1.0 Pengenalan

Dalam usaha mencapai misi Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), iaitu membangunkan potensi individu melalui pendidikan berkualiti, banyak cabaran pendidikan akan dihadapi. Sejajar dengan ini, KPM telah menyediakan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 yang bermatlamat melahirkan modal insan yang cemerlang dengan minda kelas pertama melalui pendidikan berkualiti. Pendidikan yang berkualiti merupakan usaha dan pemangkin untuk membangunkan generasi alaf baharu. Sistem pendidikan Negara memerlukan usaha-usaha yang dirancang secara sistematik untuk meningkatkan keupayaan dan kemampuan amalannya demi menangani cabaran-cabaran abad ke-21.

Menurut Noriati A. Rashid (2010), sejak tahun 1997, dua cabaran pendidikan alaf baharu yang kerap diutarakan dalam persidangan nasional ialah ledakan ilmu yang berbentuk global dan masalah sosial yang perlu ditangani dan diatasi ke arah membentuk masyarakat madani. Dalam mengejar arus modenisasi, pelajar terdedah kepada pelbagai cabaran. Contohnya, kemunculan telefon bimbit, laman sosial Facebook, dan budaya sekeliling yang tidak sihat menyebabkan pelajar mudah terlibat dengan masalah sosial.

Gejala sosial di sekolah kini semakin meruncing akibat daripada pengaruh luar dan perubahan yang berlaku dalam masyarakat. Antara factor penyebab gejala sosial terdiri daripada peranan ibu bapa, sikap pelajar itu sendiri, pengaruh media massa dan iklim bilik darjah. Menurut Noriati A. Rashid (2010) lagi, sikap ibu bapa dan cara mendidik anak-anak merupakan salah satu penyebab utama berlakunya gejala sosial dalam kalangan pelajar. Jadi, adalah menjadi tugas penting guru untuk membantu mendidik dan membimbing pelajar ke arah menjadi insan yang berguna.


2.0 Isu “Patut atau tidak pelajar sekolah dirotan?”

Berdasarkan artikel yang dimuatkan dalam Rencana Utusan Online bertarikh 25 Julai 2012, penulis menyatakan “patut atau tidak pelajar sekolah dirotan?”. Saya yakin penulis mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang pendidikan kerana beliau kini merupakan Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad, satu pertubuhan yang berperanan menjaga kebajikan para guru di Malaysia. Oleh itu pastinya isu ini menjadi bahan bualan warga guru khususnya bagi mengawal disiplin pelajar yang kian meruncing kini. Menurut beliau walaupun ada pendapat yang menentang namun ada juga yang menyokong kerana merasakan guru mempunyai peranan besar membantu menangani salah laku pelajar. Relevan ataupun tidak, ianya bergantung pada niat dan cara yang dilakukan guru tersebut mengikut keadaan.

Guru memainkan peranan yang penting dalam melaksanakan disiplin sekolah kerana guru adalah orang yang rapat sekali dan mempunyai hubungan langsung dengan murid. Oleh sebab itu pelaksanaan disiplin sekolah adalah tanggungjawab dan tugas setiap guru dan bukan semata tanggungjawab Guru Besar, Penolong Kanan dan Guru Disiplin sahaja. Guru memainkan peranan dan tanggungjawab bukan sahaja setakat mengajar tetapi juga mendidik. Mereka membentuk sikap, nilai dan akhlak para pelajar melalui pembentukan disiplin yang baik. Dalam buku Pengurusan Sekolah ada menyatakan bahawa matlamat akhir guru adalah membentuk disiplin kendiri yang baik. Penulisnya Omardin Ashaari juga ada menyatakan peranan guru dalam melaksanakan disiplin adalah dengan mengawas disiplin dalam bilik darjah, disekitar sekolah dan dalam kegiatan luar sekolah.


3.0 Analisis Isu “Patut atau tidak pelajar sekolah dirotan?”

Dalam satu sudut yang positif untuk mendidik, saya berpendapat guru wajar merotan murid jika murid yang dirotan benar-benar melakukan kesalahan. Cuma cara dan pelaksanaan guru mestilah mengikut etika berdasarkan Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 7/2003: Kuasa Guru Merotan Murid yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Dalam pekeliling tersebut ada menyatakan PERATURAN 5(1)(b), PERATURAN-PERATURAN PELAJARAN (DISIPLIN SEKOLAH) 1959, di bawah ORDINAN PELAJARAN 1957:



Peraturan 5(1) (b)

hukuman dera kepada murid-murid lelaki oleh seseorang guru atau lain-lain kakitangan sekolah adalah dihadkan kepada merotan dengan rotan yang ringan di tapak tangan atau pun di punggung yang berlapik dengan pakaian dan hendaklah difahamkan hanya oleh Guru Besar ataupun dengan kuasa nyata yang diberi olehnya dalam hal yang tertentu.

Namun begitu, hukuman dalam peraturan di atas tidak boleh dilakukan sewenang-wenagnya tanpa perbicaraan yang jelas menunjukkan murid melakukan sesuatu kesalahan yang berat secara berulang kali. Hal ini kerana dalam kajian Reynolds (1977) menunjukkan bahawa sekolah yang kadar hukuman deranya tinggi mempunyai lebih masalah tidak berdisiplin daripada sekolah yang lain. Jadi masalah tidak berdisiplin perlu ditangani dengan bijak oleh pihak sekolah dan pihak lain-lain yang berkenaan untuk mengelakkan kes-kes yang lebih teruk berlaku.

Kuasa guru dalam melaksanakan undang-undang disiplin tidak dapat dipertikaikan lagi kerana ia telah termaktub dalam Ordinan tapi perlu mengikut prosedur yang telah ditetapkan dalam Peraturan 4, Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) iaitu dengan mengamalkan keadilan, tidak boleh menghukum seseorang tanpa belaan dirinya dan setiap individu yang dituduh hendaklah diberi peluang dan hak untuk didengar. Oleh itu, guru mestilah adil dalam menjatuhkan hukuman kepada pelajar dan pelajar juga perlu diberi peluang untuk mengemukakan alasan-alasan terhadap perlanggaran disiplin itu untuk membela diri mereka.

Dalam Teori Skinner ada menyatakan bahawa dendaan adalah satu proses atau tatacara untuk melemahkan atau mengurangkan berulangnya tingkah laku yang tidak diingini. Tegasnya, dendaan adalah kesan negatif yang membawa kepada pengurangan dalam kekerapan berlakunya tingkah laku tersebut. Jadi, merotan merupakan satu dendaan memberi kesan negatif kepada pelajar dan ianya boleh dijadikan sebagai langkah pencegahan daripada berlakunya tingkah laku yang tidak diingini secara berulang kali.

Hukuman merotan merupakan satu denda yang dikenakan ke atas murid yang bersalah bagi membentuk disiplin murid tersebut. Peters dalam bukunya yang bertajuk Ethics and Education (1966) dan The Logic of Education (1970) telah mendefinisikan denda sebagai mengenakan kesakitan dengan sengaja oleh orang yang berautoriti ke atas seseorang yang melanggar peraturan dan ke atas sesorang yang melakukan sesuatu yang tidak menyenangkan. Kita hendaklah memahami bahawa kuasa merotan murid yang diberikan kepada pengetua/guru besar dan guru-guru (yang diberikan kebenaran bertulis oleh pengetua/guru besar) bukanlah semata-mata untuk mendera atau mencederakan murid sehingga meninggalkan bekas di badan, menyebabkan mereka berasa malu dan trauma untuk datang ke sekolah. Tetapi ianya untuk mendisiplinkan murid, membantu mereka agar lebih terarah dan lebih bertanggungjawab dalam mematuhi peraturan sekolah.

Denda boleh juga dikatakan sebagai insentif untuk memperbetulkan tingkah laku pelajar. Seorang ahli kaji jiwa telah menyatakan bahawa insentif atau dorongan yang negatif amat penting dalam kehidupan seharian. Mendenda bukanlah perkara yang disukai oleh guru dan pelajar. Biasanya, perkara ini boleh dielakkan tetapi guru perlu mengetahui bila, bagaimana dan dendaan jenis apa yang sesuai untuk digunakan. Dendaan perlu dibezakan daripada dendam dan benci. Menurut Peters dalam bukunya Ethics and Education (1966), kesalahan yang dihukum merupakan kes membalas dendam dan bukan dendaan jika yang menghukum itu tidak ada autoriti. Sebagai contoh pelajar telah membocorkan tayar kereta guru. Dalam hal ini, jika guru menghukum pelajar atas alasan kerugian yang telah beliau alami, maka ini adalah kes membalas dendam. Namun begitu jika pelajar dihukum oleh guru kerana kesalahan membocor tayar, maka ia adalah satu kes denda.

Oleh itu, guru perlulah mengambil perhatian apakah tujuan mereka menghukum dan juga melihat kepada autoriti diri sama ada dibenarkan ataupun tidak. Selain itu, jenis dan kadar hukuman yang dikenakan juga perlu dipertimbangkan. Hal ini adalah kerana apabila dendam yang terlibat biasanya hukuman yang dikenakan adalah lebih berat daripada yang sewajarnya. Para guru perlu berhati-hati dalam menggunakan denda supaya tidak dieksploitasi oleh pelajar. Dalam artikel tersebut juga menyatakan ada pihak berpendapat jika masalah disiplin tidak ditangani dengan betul ketika pelajar berada di bangku sekolah dikhuatiri boleh menimbulkan masalah lebih besar apabila mereka meninggalkan sekolah nanti. Jadi pada pandangan positif saya, hukuman merotan yang dikenakan dengan cara yang betul sedikit sebanyak dapat membantu ke arah mencegah murid melakukan kegiatan jenayah dan aktiviti yang tidak sihat ketika sudah keluar dari alam persekolahan.

Abdul Rahman dan Zakaria Kasa dalam bukunya Falsafah dan Konsep Pendidikan telah membahagikan dendaan kepada tiga jenis iaitu teori pembalasan, teori pencegahan dan dendaan berbentuk pemulihan. Teori pertama iaiatu pembalasan adalah dengan melihat kembali atau ke belakang akan kesalahan yang dilakukan dan memastikan bahawa dendaan adalah sesuai dengan kesalahan. Walau bagaimanapun, adalah sukar untuk menentukan jenis dendaan yang sesuai dengan pelanggaran peraturan yang dilakukan oleh pelajar. Oleh itu faedah dendaan berbentuk pembalasan adalah kurang kerana kemungkinan tingkah laku pelajar masih tidak dapat diubah malahan boleh membangkitkan perasaan marah dalam diri pelajar kepada gurunya.

Seterusnya, teori pencegahan mengatakan bahawa dendaan yang dikenakan adalah bertujuan untuk mencegah daripada berulangnya pelanggaran tingkah laku. Apa yang menjadi isu dalam teori ini ialah pertenglingkahan di antara keadilan dan pertimbangan untuk kepentingan ramai. Sebagai contoh guru mendenda semua pelajar yang berada dalam kelas apabila guru gagal mencari pelajar yang melakukan kesalahan. Guru sepatutnya membuat pilihan di antara keadilan dan kepentingan ramai. Daripada contoh tadi guru telah mengambil keputusan mencegah untuk kepentingan ramai daripada mengutamakan keadilan kerana pesalah yang sebenar tidak dikenakan hukuman. Sedangkan apabila guru mendenda semua pelajar, guru telah menganiayai pelajar yang tidak bersalah.

Berkaitan dendaan berbentuk pemulihan, seorang penulis Nash (1966) berpendapat bahawa dendaan jarang-jarang sekali memulih pembuat kesalahan kecuali ada perhubungan yang benar-benar mesra serta penuh dengan kasih sayang di antara yang membuat kesalahan dan yang mendenda. Tetapi tidak ramai guru yang mempunyai pengetahuan dan kemudahan yang ada pada mereka dapat memulih pelajar-pelajar liar. Jika kita lihat sekarang ini majoriti sekolah mengadakan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di mana pakar-pakar psikologi ditempatkan untuk menolong memulihkan pelajar-pelajar berkenaan. Teori ini lebih banyak mendidik pelajar menjadi manusia berguna kerana pemulihan yang dibuat telah menggantikan dendaan. Teori ini juga sesuai dengan situasi sekolah yang bersifat pemulihan, pendidikan atau perubahan ke arah yang lebih baik. Namun begitu, ketiga-tiga bentuk teori dendaan yang disebutkan tadi mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Jadi guru perlu bijak memilih dan mengadun ketiga-tiga teori tersebut dalam mendidik murid.

Menurut bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Dr. Abdul Hamid Othman, adalah wajar memukul sebagai satu hukuman terhadap salah laku kanak-kanak dan ini dibenarkan sendiri dalam Islam kerana ia adalah kaedah pengajaran yang berkesan. Beliau juga berpendapat ibu bapa sepatutnya memberi sedikit kelonggaran kepada guru untuk memukul anak mereka yang melakukan kesalahan bagi membentuk disiplin dan keperibadian mereka. Ini kerana apabila seseorang pelajar menerima hukuman seperti rotan, pelajar tersebut akan merasa sakit dan serik untuk melanggar peraturan sekolah lagi. Manakala pelajar-pelajar lain yang melihat hukuman ini dijalankan juga akan merasa ngeri untuk melakukan kesalahan tersebut. Oleh itu masalah pelanggaran disiplin dapat diatasi.

Kerjaya guru bukanlah seperti mata-mata gelap yang harus mancari semua kesalahan pelajar den kemudiannya mengenakan denda. Guru mesti tahu bila dan bagaimana menggunakan denda yang tidak merosakkan. Ada guru yang berpendapat bahawa denda hanya sesuai untuk tingkahlaku yang diulang, tetapi jika pelajar menunjukkan usaha membaiki tingkah lakunya, maka jangan dikenakan denda. Ada benarnya pendapat ini kerana pelajar yang telah sedar akan kesalahannya tetapi masih dikenakan denda akan hilang keyakinan kepada guru berkenaan. Denda disarankan digunakan apabila sudah tiada jalan yang sesuai lagi.

Rasulullah SAW pernah menunjukkan cara terbaik dalam memberikan didikan menerusi sabda yang bermaksud:

“Suruhlah anak kamu menunaikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka jika tetap enggan bersolat apabila umur mereka sepuluh tahun.”
(Hadis Riwayat Abu Daud)

Demikianlah contoh dianjurkan Rasulullah SAW bahawa pembelajaran itu tidak dimulai dengan rotan atau hukuman. Malah ia perlu didahului dengan pelbagai cara dan pendekatan yang mampu menarik minat seseorang itu melaksanakannya. Nasihat, perkataan baik, teguran lembut tetapi tegas adalah tindakan terbaik mentarbiah pelajar di sekolah. Jika cara itu gagal barulah dikenakan hukuman berbentuk kekerasan bertujuan semata-mata untuk mendidik, bukan mencederakan hingga menyebabkan kecacatan fizikal atau mental. Hal ini sesuai firman Allah ditujukan kepada nabi dan rasul yang ditugaskan mendidik umat, yang bermaksud:

“Dengan rahmat Allah kepada diri kamu itu, maka engkau hendaklah berlemah lembut menghadapi sikap mereka. Seandainya kamu berkeras hati dan (sikapmu pula) kasar, nescaya mereka akan berpaling dari sekelilingmu.”
(Surah Ali-Imran, ayat 159)

Menurut Bandura (1961) pula, denda mengurang dan mengawasi tingkah laku tetapi dengan sendirinya tidak mengajar tingkah laku yang diingini atau mengurangkan keinginan untuk bertingkah laku buruk. Oleh sebab itu mendenda perlulah dibuat setimpal dengan tingkahlaku yang bermasalah atau syarat juga boleh dikenakan supaya pelajar berusaha mengelakkan denda dengan memperbaiki tingkah lakunya. Denda boleh diberi dalam pelbagai bentuk iaitu menyisih atau mengasingkan pelajar yang bermasalah dari kumpulan, menghadkan hak-haknya, dan memberikan kritikan yang tajam. Pendapat Bandura (1961) menunjukkan bahawa terdapat banyak lagi dendaan yang boleh diberikan kepada murid selain merotan.

Bagaimanapun disamping memberi kesan yang positif terhadap pelaksanaan hukuman rotan, ia juga turut memberi kesan negatif kepada pelajar. Hal ini kerana walaupun hukuman ini diiktiraf dan diakui keberkesanannya pada suatu ketika dulu, tetapi kaedah ini dikatakan tidak sesuai pada masa sekarang memandangkan keadaan persekitaran yang berubah. Justeru itu keberkesanan hukuman rotan perlu dinilai semula. Namun ianya tidak bermakna hukuman rotan tidak boleh direalisasikan tetapi elok dijadikan sebagai salah satu daripada alternatif yang boleh diambil. (Tamadun, 1996)

Dato’ Dr. Abdul Hamid Othman juga memberikan pendapat supaya tidak menggalakkan penggunaan rotan kerana ia boleh meninggalkan kesan fizikal kepada pelajar yang dipukul. Namun begitu dalam melaksanakan hukuman rotan, guru seharusnya berhati-hati sebelum mengambil tindakan. Hukuman yang dikenakan perlulah setimpal dengan jenis kesalahan yang dilakukan oleh pelajar. Guru sewajarnya tidak menyalahgunakan kelonggaran atau kuasa yang ada dan bertindak memukul pelajar dengan dorongan perasaan geram atau marah. Hal ini bertujuan mengelakkan gejala penderaan terhadap pelajar sekolah berlaku.



4.0 Rumusan

Apapun masalah disiplin yang timbul, pelajar perlu dikenakan hukuman atau denda baik ringan atau berat bergantung kepada tahap kesalahan yang dilakukan. Pelaksanaan hukuman ini perlu kerana ianya merupakan salah satu daripada kaedah atau cara pendidikan yang berkesan. Walaubagaimanapun sebelum pelaksanaan sesuatu hukuman, pihak ibu bapa hendaklah dimaklumkan terlebih dahulu supaya tidak timbul sebarang masalah berbangkit selepas sesuatu tindakan dilakukan. Pihak sekolah juga harus bertanggungjawab sepenuhnya terhadap tindakan yang dibuat. Hal ini bertujuan bagi memastikan sesuatu tindakan yang diambil adalah wajar dan berpatutan dengan kesalahan yang dilakukan.

Teori pembelajaran sosial yang diaplikasikan oleh Bandura (1973) merumuskan bahawa perkara utama yang sering dipelajari oleh kanak-kanak dan remaja ialah melalui pemerhatian terhadap tingkah laku orang lain, khususnya orang yang signifikan dengan mereka. Menurut Mahmood (2001), tingkah laku agresif dipelajari daripada persekitaran sosial seperti interaksi dengan keluarga, rakan sebaya, media massa dan konsep kendiri individu. Oleh kerana manusia dipengaruhi oleh persekitaran mereka, maka remaja akan memilih salah satu daripada pengaruh persekitaran mereka untuk ditauladani. Jika tingkah laku negatif ditunjukan oleh ibu bapa, maka remaja akan terikut-ikut kepada tingkah laku ibu bapa tersebut dan jika ia ditunjukan oleh rakan sebaya remaja, ia juga akan menjadi ikutan remaja.

Satu hakikat daripada aspek tarbiah yang menjadi lumrah di sekolah ialah murid kerap dipengaruhi oleh sifat, kebiasaan dan akhlak guru. Jika guru mempunyai akhlak yang baik, murid pasti terikut-ikut dan terpengaruh dengan akhlak itu, demikianlah juga sebaliknya. Jika perasaan ini timbul dengan pandangan negatif, murid bukan sahaja memusuhi gurunya, tetapi mungkin menjangkau kepada pelajaran dan seterusnya kepada seluruh sistem persekolahan dan masyarakat yang berkaitan dengannya. Menurut Syed Ismail (2010), seorang guru yang professional seharusnya berupaya membuat keputusan dan menyelesaikan masalah serta berfikiran kritis dan kreatif.

Sebagai kesimpulannya, saya berpendapat bahawa hukuman rotan wajar dilaksanakan mengikut peraturan yang telah ditetapkan. Namun berdasarkan teori pembelajaran sosial yang disebutkan tadi, semua pihak yang bertanggungjawab mempengaruhi pelajar harus membuat perubahan yang positif. Ianya sebagai langkah pencegahan awal yang penting dalam mengatasi masalah gejala sosial yang semakin meruncing dalam kalangan pelajar. Hukuman rotan adalah satu dendaan keras yang hanya sesuai dilaksanakan sebagai langkah terakhir dalam mendidik pelajar yang bermasalah.

Permasalahan disiplin yang timbul di penghujungnya hendaklah dilaksanakan dengan semangat kerjasama. Guru Besar, guru, murid malah ibu bapa hendaklah bersama berperanan dalam menyelesaikannya. Ini bermakna semua peringkat harus ada permuafakatan dalam melindungi dan mempertahankan peraturan yang sudah ditetapkan bagi mewujudkan keharmonian dalam usaha membentuk generasi pelapis mampu berdaya saing dan penuh berdisiplin.


Keratan Akhbar berkaitan...


Disediakan oleh:
Mahzan bin Abd Mutalib

No comments:

Post a Comment