Wednesday 5 September 2012

ISU: BEBAN TUGAS GURU


Isu Bebanan Tugas Seorang Guru





1.1 Pengenalan

Falsafah Pendidikan Kebangsaan, FPK (1989), di Malaysia menekankan “ pendidikan sebagai usaha berterusan untuk memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu bagi mewujudkan insan yang seimbang dan harmoni dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan social berdasarkan  kepercayaan kepada tuhan. Usaha ini adalah untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berkeupayaan untuk mencapai kesejahteraan diri serta Negara.” FPK ini jika dihayati sepenuhnya menunjukkan guru telah diamanahkan memikul tanggungjawab yang berat. Mereka perlu berwibawa, peka  kepada perubahan dan bijak menangani masalah terutama disiplin pelajar. Secara amnya, guru dianggap sebagai ‘ pakar ’ dalam segala bidang (Shamsudin Haron et al.2002).

Dalam konteks pendidikan moden hari ini, guru adalah golongan professional yang melaksanakan tugas kea rah mencapai matlamat pendidikan untuk merealisasikan dan mengembangkan ilmu pengetahuan kepada pelajar dan masyarakat bagi membina negara yang bertamadun tinggi. Dalam usaha untuk merealisasikan sistem pendidikan itu, beban tugas dan tanggungjawab guru-guru perlu diambil kira.

Perkembangan dalam bidang pendidikan banyak bergantung kepada pengalaman yang dicurahkan oleh guru. Walau bagaimanapun beban tugas yang diamanahkan dapat dilaksanakan atau tidak banyak bergantung kepada individu guru itu sendiri, selaras dengan perkembangan sistem pendidikan sekarang ini seperti persediaan pengajaran pembelajaran, kegiatan kokurikulum, dan juga tugas-tugas berkaitan perkeranian. Guru juga perlu memastikan kelicinan program sekolah yang telah dirancang sama ada pada peringkat sekolah, daerah, negeri mahupun kebangsaan.
Begitu juga setiap kali perubahan kurikulum berlaku maka setiap kali itulah juga kewibawaan guru tercabar. Dengan keadaan ini akan menyebabkan ramai guru menghadapi tekanan emosi akibat daripada perubahan tersebut. Penambahan beban tugas ini sudah tentu akan membawa kesan kepada mutu dan kualiti pengajaran guru ( Abd.Rahim, 1997).

Pembahagian kerja merupakan perkara yang penting dalam aspek kawalan dan pengurusan bagi menganalisis tugas dan pembahagian kerja secara terperinci, kemudian membandingkan dengan kemampuan seorang pekerja untuk melaksananakan tugas itu dengan terperinci. Gabungan antara tugas dan kemampuan bertujuan mewujudkan kecekapan (Abdullah Shukur Abdullah,1991). 

Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan berlaku beban tugas dalam kalangan guru yang digariskan oleh Daeng Ramli Akil (1993). Di antaranya ialah :
a) Pengagihan tugas yang tidak seimbang antara guru-guru dalam setahun.
b) Sikap pentadbir yang suka pilih kasih dan bersikap tidak adil terhadap guru-guru tertentu.
c) Tugas sampingan yang dibebankan dibahu guru-guru oleh pihak atasan.
d) Tugas sampingan yang diberikan secara mendadak kepada guru.

Guru juga terpaksa berhadapan dengan perubahan demi perubahan dalam bidang pendidikan sehingga wujud beban yang keterlaluan. Contohnya, apabila ada pegawai baru di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), Jabatan Pelajaran Negeri atau peringkat kementerian, banyaklah idea atau tugasan baru yang harus dipilul oleh guru. “Bebanan ini bertambah dalam keadaan jumlah guru yang tidak seimbang dengan peningkatan jumlah murid”.

Laporan awal Jawatankuasa Menangani Beban Tugas Guru telah mendapati guru-guru di Selangor, Johor, Melaka dan Kuala Lumpur sebagai ‘guru terbeban’ memandangkan mereka terpaksa mengambil masa 74 jam seminggu untuk menjalankan tugas keguruan seperti 50.4 jam atau 68 peratus berkaitan kurikulum. Dapatan dari laporan awal itu juga didapati 12.7 peratus masa guru di negara ini dihabiskan untuk aktiviti kokurikulum, 8.9 peratus untuk hal ehwal murid dan 1.2 peratus untuk pengurusan asrama. Jawatankuasa itu turut mendapati 4.3 peratus daripada masa guru digunakan untuk pengurusan, 2.4 peratus kewangan, 1.1 peratus masing-masing untuk latihan dan hubungan komuniti manakala 0.1 peratus untuk pembangunan fizikal sekolah. Resolusi yang dipersetujui  oleh Persidangan Pertubuhan Buruh Sedunia (ILO),1930 telah mengkelaskan guru-guru yang bertugas melebihi 48 jam seminggu termasuk dalam tugas perancangan, persediaan, penilaian, penyediaan kurikulum dan perhubungan dikategorikan sebagai terbeban ( Utusan Malaysia, 6 Julai 2005 ).

Ekoran dari bebanan tugas berat yang terpaksa dipikul oleh guru-guru telah menyebabkan mereka tidak menyempurnakan tugas mereka dengan baik dan seterusnya ditegur atau dimarahi oleh majikan boleh menyebabkan seseorang itu mengalami “stress”. Ketegangan yang berpanjangan boleh mempengaruhi psikologi seseorang seperti hilang keyakinan, cepat meradang, agresif dan hilang daya konsentrasi. Ini menyebabkan sesorang guru itu kurang bersemangat dan tidak bermotivasi dalam menjalankan tugasnya ( Abdul Malik, 2000 ). Ini turut diakui oleh Zubaidah Aman ( 1999 ) yang mendapati bahawa bebanan waktu mengajar, jumlah mata pelajaran dan bebanan tugas di sekolah mempengaruhi keletihan emosi guru.


1.2 Huraian dan Analisis Artikel

Isu beban tugas guru bukanlah perkara baru dalam dunia pendidikan di Malaysia, namun ia kembali diperkatakan sejak kebelakangan ini berikutan bebanan tugas yang berlebihan sehingga bukan sahaja mengganggu tugas hakiki guru, malah menyebabkan sesetengah guru hidup dalam tekanan kerja. Selain terlibat dengan kegiatan kokurikulum serta mengikuti pelbagai jenis kursus, guru juga terpaksa melakukan tugas pentadbiran dan perkeranian.  Implikasinya, golongan pendidik ini tidak dapat memberikan sepenuh komitmen kepada kualiti dan proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Menyedari hakikat itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Menteri Pelajaran mengarahkan agar satu jawatankuasa khas iaitu Jawatankuasa Khas Menangani Isu Beban Tugas Guru (JKMIBTG)  ditubuhkan bagi mengkaji beban tugas guru yang kini terpaksa melakukan kerja berlebihan. 

Tetapi jika pandangan itu dari luar, maka ia pandangan dari luar ke dalam. Ia lebih bersifat memantau kelebihan dan kekurangan profesion keguruan. Justeru, kekadang apa yang diutarakan tidak menggambarkan hal sebenar yang dialami oleh warga pendidik. Jika soal kerja separuh hari, banyak cuti, sebenarnya ia bukan dirasai oleh semua guru. Malah ada yang terpaksa menjaga peperiksaan atau menanda kertas peperiksaan sewaktu cuti sekolah. Walaupun ada yang kata, tugas-tugas tersebut dibayar, tetapi nilai bayaran dengan tugas dan tanggungjawab yang dilakukan sebenarnya tidaklah banyak sehingga menjadi suatu buruan kepada semua guru. Buktinya, tiada siapa yang ingin mengawas peperiksaan jika elemen paksa rela dilaksanakan oleh pengetua atau guru besar.

Walaupun cikgu hanya bertugas separuh hari, bukan semua kerja sekolah boleh disudahkan di sekolah. Akhirnya, mereka terpaksa juga membawa semua kerja yang tidak siap ke rumah untuk disudahkan. Keadaan ini tentunya amat berbeza dengan tugas seorang pegawai di pejabat. Semua urusan, jika mahu boleh dibereskan sewaktu dipejabat.

Persoalannya di sini, bukankah semua tugas itu sewajarnya dilakukan oleh mereka yang lebih pakar dalam tugas merekod data atau maklumat. Bukankah kerja membabitkan kewangan perlu dilaksanakan oleh kerani kewangan dan perihal data pula diuruskan oleh pegawai data? Memang ada guru data di sekolah, tetapi mereka sebenarnya bukan fokus dalam hal data semata-mata kerana perlu juga mengajar di kelas, malah ada yang perlu mengajar subjek kritikal. Guru IT pula hanya layak mengajar asas computer seperti menggunakan perisian Microsoft Word, Powerpoint atau Excel tanpa ada skil membuat sistem data yang lebih memudahkan guru memasukkan maklumat secara pantas dan pengiraan markah peperiksaan dibuat secara berkomputer, malah guru IT juga guru biasa yang perlu mengajar.

Walaupun kajian dan penyelidikan tentang hal yang sama telah banyak dilakukan oleh profesor pendidikan, pelajar ijazah tinggi dan pasukan penyelidik di universiti tempatan, kajian berskala besar yang bakal dilaksanakan sendiri oleh Kementerian Pelajaran Malaysia tentulah memiliki signifikan yang tersendiri. Bahagian Penyelidikan dan Perancangan Dasar Pendidikan (EPRD), organ penting kementerian, dijangka menggalas tugas penting itu. Warga guru pasti mengharapkan kajian berkenaan segera akan disusuli dengan daya usaha penambahbaikan supaya apabila tumpuan pekerjaan guru terhadap tugas asasi pengajaran dan pembelajaran dikembalikan, manfaatnya akan dipulangkan kepada murid dalam bentuk akses pengalaman pembelajaran yang bermutu dan terbaik.

Memang saya tidak nafikan pelbagai rungutan dan sungutan tentang beban tugas yang melampaui spesifikasi kerja bukanlah bermakna kaum guru yang bilangannya sudah mencecah 400 ribu orang di Malaysia sebagai golongan yang berkira dan enggan berkorban. Isu sebenar ialah keberkesanan dan kecekapan dalam menggembleng segala sumber yang ada untuk memupuk potensi pembelajaran dalam kalangan murid. Profesionalisme keguruan hanya akan tercapai secara tuntas jika guru mempunyai kawalan terhadap kemajuan ikhtisasnya sendiri.

Sebagai perbandingan, ahli ikhtisas lain seperti arkitek, doktor, jurutera, juruukur bahan, pegawai tadbir dan diplomatik, dan peguam mereka tidak berpengalaman melakukan sendiri kerja perkeranian dan teknikal sebagaimana yang dialami oleh guru sepanjang masa. Guru di sekolah walaupun berada pada gred perjawatan DG 52 masih perlu mengusung amplifier, mikrofon dan peralatan siar raya yang lain. Tugas guru kelas sudah diperluaskan apabila perlu mengisi lebih banyak data yang dikehendaki oleh pelbagai peringkat organisasi.

Bacaan meter tekanan yang dialami oleh guru sesebuah sekolah akan melonjak tinggi apabila kepimpinan sekolah terlalu obses untuk meraih anugerah atau perhatian pihak tertentu. Macam-macam idea dan projek yang muncul. Mula-mula datang dalam bentuk rayuan supaya memberi sokongan, lama-kelamaan bertukar kepada desakan yang merimaskan.

Tanpa prasangka jantina, terdapat persepsi mengatakan bahawa sekolah yang diterajui oleh kepimpinan wanita, dan tidak berkahwin pula, membawa keadaan  yang bertambah sukar. Pemimpin sedemikian mempunyai banyak masa untuk berfikir dan menelek-nelek, serta kurang bersimpati dengan kehidupan peribadi guru yang sudah bekeluarga. Mereka juga begitu cepat melupakan pengalaman diri sendiri semasa masih bergelar guru biasa.

Jika kaum guru hendak diangkat martabatnya ke arah profesional tulen, banyak perkara perlu diberi perhatian. Sekurang-kurangnya 90 peratus bidang tugas guru mestilah menjurus kepada pemupukan pembelajaran murid, sama ada di dalam bilik darjah, mahupun di luar bilik darjah. Guru juga patut diberi kesempatan mengadakan perbincangan profesional tentang saranan kajian terkini daripada jurnal pendidikan dalam bidang opsyen masing-masing.

Kajian tindakan yang dibuat secara individu perlu digantikan dengan kajian tindakan berkumpulan. Sesudah pengagihan tugas diserahkan, kerja berkumpulan diteruskan, iaitu duduk bersama-sama melengkapkan refleksi, bidang keprihatinan, tinjauan bacaan, kaedah, instrumentasi, analisis dapatan dan saranan penambahbaikan. Jumlah masa yang digunakan dalam kajian tindakan diberi pengiktirafan dalam jam kerja P&P.

Kepimpinan sekolah juga mesti menghormati kelayakan akademik dan kewibawaan guru dalam bidang masing-masing. Tiada sesiapa pun di sekolah yang patut berlagak serba tahu. Hubungan yang harmonis, tanpa membiarkan sesiapa mengambil kesempatan, akan meletakkan kedudukan guru lebih selesa dan suci hati dalam melaksanakan amanah keguruan mereka. Pelaburan awam dalam mewujudkan jawatan pembantu guru mungkin merupakan pilihan yang berbaloi kerana tumpuan guru terhadap pembelajaran murid ialah insurans ketenteraman sosial dan keselamatan negara dalam jangka masa panjang.


1.3 Implikasi 

Untuk pembangunan sesebuah negara, pendidikan merupakan aset yang sangat penting kepada semua individu. Pembangunan modal insan menjadi tonggak kepada kejayaan sebuah negara.  Namun persoalannya, siapakah yang yang menjadi agen penggerak kepada perubahan pembangunan modal insan ini? Dalam sektor pendidikan negara, guru adalah golongan yang paling bertanggungajawab untuk menggalas amanah negara ini. Modal insane yang perlu dibangunkan perlu seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial.  Justeru itu, keupayaan guru menguruskan segala tugasan dan tanggungjawab tanpa sebarang tekanan merupakan asas kepada pembangunan murid. Hal ini kerana, tanggungjawab guru yang kian mencabar bukan sahaja dari dunia pendidikan bahkan dari masyarakat yang meletakkan tanggungjawab yang tiggi kepada pihak sekolah.  Faktor-faktor ini semua sudah tentu memerlukan ketahanan emosi untuk mengelak tekanan bebanan kerja guru.  Justeru itu, cadangan  NUTP ini sekurang-kurangnya menunjukkan   rintahan golongan guru untuk menjaga hak kebajikan mereka masih didengari oleh pihak kementerian.

Kajian yang dilakukan pihak kementerian perlu   menyeluruh dan mengambil kira implikasi positif kepada golongan guru, murid, sekolah seterusnya misi negara.  Pengwujudan perjawatan guru pembantu ini sudah tentu dapat menjimatkan masa guru untuk diberi fokus kepada tugas hakiki mereka daripada melakukan kerja sampingan sehinggakan menjejaskan kualiti proses penganjaran dan pembelajaran.  Masa berkualiti antara guru dan pelajar tentunya dapat dipertingkatkan bertepatan dengan usaha memperkasakan perkhidmatan pelajaran serta memartabatkan profesion keguruan.  Dengan adanya pembantu ini, guru akan dapat memberikan lebih tumpuan kepada aktiviti pembelajaran pelajar dan perkembangan pedagogi mereka.  Menurut Hashim Adnan, presiden NUTP dalam laporan akhbar Berita Harian 29 Jun 2009,  ketika ini, 380,000 guru dikatakan tidak mampu fokus kepada pengajaran di kelas disebabkan terpaksa menjalankan kerja luar tugasan yang dianggap beban tambahan.  Guru tidak lagi perlu memikirkan soal 'kerja sosial' dan boleh fokus kepada pengajaran di dalam kelas dan tidak perlu habiskan banyak masa jalankan tugas di luar bidang kerja.

Implikasi positif ini bukan sekadar tertumpu kepada golongan guru sahaja, semua pihak sewajarnya menyedari hakikat dengan adanya perjawatan sokongan ini akan membantu prestasi akademi murid-murid serta dapat memastikan hak kebajikan murid terjaga.  Hal ini merujuk kepada   kenyataan Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Peng,  dalam laporan Berita Harian 14 Disember 2010 yang mengatakan bahawa  guru pembantu  boleh berperanan membantu murid yang menghadapi masalah seperti sakit atau demam ketika berada dalam kelas.  Menuruf Prof Ferrel pula dalam laporan laman rasmi UKM 13 Oktober 2011 menyatakan bahawa, “Akan ramai lagi murid yang ketinggalan dan mereka memerlukan bantuan pembantu guru’. Oleh itu, dengan adanya bantuan, prestasi setiap murid akan lebih dapat diberi tumpuan.

Dalam menuju misi taraf pendidikan bertaraf dunia, semua pihak tidak seharusnya berpeluk tubuh dan lebih teruk saling menunding jari apabila timbulnya isu bebanan tugas guru ini.  Pendidikan negara tidak akan mendapat sebarang keuntungan malahan semakin terkebelakang daripada beberapa negara lain yang lebih sensitif dengan perubahan taraf pendidikan negara mereka.  Sistem pendidikan negara yang baik perlu menyediakan pendidikan berkualiti.  Pendidikan yang berkualiti bermula daripada corak perkhidmatan guru-guru.  Corak perkhidmatan yang baik dan tersusun sudah tentu dapat mengelakkkan keciciran prestasi sekolah seterusnya taraf pendidikan negara.  Oleh itu, peranan guru pembantu ini sudah tentu memainkan peranan penting untuk membantu sekolah khususnya guru-guru yang terkekang dengan bebanan tugasan berlebihan sehingga membantutkan usaha mereka kearah inspirasi negara. 


1.4 Rumusan dan Cadangan

Berdasarkan perbincangan isu ini, saya amat tertarik tentang cadangan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) berkenaan pengambilan guru pembantu atau disebut guru kedua yang akan ditempatkan di dalam kelas melebihi 35 orang murid di sekolah rendah dan 40 murid di sekolah menengah. Antara rasional yang dikemukakan ialah, ia mampu mengurangkan beban tugas guru, sekali gus dapat menjamin keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P).

Pada pandangan saya dengan merujuk kepada pembacaan pada laman-laman web dan blog rasmi mahupun tidak rasmi serta pemerhatian dan pengamatan semasa proses praktikum di beberapa buah sekolah termasuk kategori luar bandar dan bandar di kawasan setempat, saya berpendapat bahawa cadangan ini memang bertepatan dengan keperluan pendidikan masa kini.  Guru kini dilihat bukan sekadar pengajar, malah semakin kurang dapat memberi tumpuan kepada aktiviti pengajaran dan pembelajaran, walaupun semua pihak menekankan kewajipan itu sebagai skop tugas utama guru di sekolah.  Apa tidaknya, jengoklah ke mana-mana sekolah, atau tanyalah kepada mana-mana guru sekalipun,  pasti keluhan dan rungutan yang akan kedengaran mengenai tumpuan tugas mereka yang semakin hari semakin membebankan.

Itulah gambaran yang sewajarnya dilihat bagi menceritakan betapa guru kini tidak seperti guru pada suatu zaman sebelum ini yang dihormati atas kredibiliti sebagai guru yang tegas dalam menyampaikan pengajaran serta cukup disegani atas kedudukan sebagai gedung ilmu.  Banyak pihak yang mungkin mencebik atau menjuih bibir apabila guru merungut mengenai beban yang mereka hadapi. Tak kurang juga yang mengatakan guru ketika ini manja dan banyak 'songeh'.  Ironinya, sejauh mana mereka meletakkan situasi sebenar bebanan dunia keguruan di atas bahu mereka sehingga cuba menafikan atau ‘berpaling muka’ terhadap keluhan guru ini untuk mendapatkan khidmat sokongan guru pembantu?

Realitinya, saya tidak bermaksud untuk menafikan pandangan-pandangan berlawanan dengan pandangan di atas, antaranya segelintir individu mungkin beranggapan tugas guru akan bertambah mudah apabila adanya khidmat guru kedua. Ada juga melontarkan keluhan bahawa guru hanya perlu bekerja setengah hari dan mendapat kemudahan cuti yang lebih banyak berbanding kakitangan awam lain di negara ini. Wujudnya khidmat guru kedua ini juga akan menggalakkan guru-guru biasa untuk meninggalkan kelas dengan pelbagai alasan. Pada peringkat kementerian pula, kita boleh dengar kenyataan penolakan secara halus dengan alasan “kajian mendalam perlu dilakukan dengan teliti dan tentu mengambil masa yang lama untuk diputuskan” atau “peruntukan kerajaan tidak mencukupi untuk membayar emolumen kakitangan baru”.

Kesimpulannya, seandainya cadangan ini disambut baik oleh pihak kerajaan Malaysia melalui perlaksanaanya, saya harap setiap guru dapat memberi komitmen serta tumpuan sepenuhnya terhadap tugas mengajar di dalam kelas bagi meningkatkan prestasi pelajar memandangkan berkurangnya beban kerja. Kita tidak mahu ada lagi segelintir guru mengambil kesempatan menjadikan alasan bebanan tugas untuk tidak melaksanakan tugas hakiki mereka dengan baik dan mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan. Guru adalah kerjaya yang sentiasa mendapat perhatian utama kerajaan kerana peranannya cukup penting dalam mendidik rakyat agar menjadi modal insan cemerlang untuk membangunkan negara.

Di sebabkan itulah kerajaan tidak pernah mengabai kebajikan guru dan setiap masalah yang timbul sentiasa mendapat perhatian untuk ditangani segera. Oleh itu, dalam keadaan tertentu, guru juga perlu membuktikan keikhlasan serta sikap sedia berkorban tanpa mengharapkan imbuhan semata-mata. Saya percaya sebahagian besar guru di negara ini komited dengan tugas mereka dan sanggup mengharungi cabaran bagi memastikan pelajar mendapat pendidikan sempurna dan cemerlang dalam pelajaran.

Akhbar berkaitan...


Disediakan oleh:
Mazwan bin Karim

ISU: GURU KEDUA





Analisis Isu Guru Kedua

Profesion sebagai guru adalah profesion yang sungguh mencabar memandangkan tugasnya yang begitu banyak dan tanggungjawabnya yang begitu berat. Di Malaysia, persoalan mengenai tekanan kerja di kalangan guru - guru juga menjadi topik hangat yang sering diperkatakan. Basinun (1995) menyatakan antara masalah utama guru adalah masalah kenaikan gaji, peluang kenaikan pangkat dan beban kerja guru yang keterlaluan. Selain daripada tugas mendidik murid - murid, guru-guru perlu berdepan dengan karenah disiplin murid yang menambahkan lagi beban kerja guru. Muhamad (1995) memetik laporan Kongres Kesatuan Guru - Guru Malaysia menyatakan bahawa guru-guru menghadapi tekanan dengan kerja - kerja persediaan mengajar seperti menyediakan perancangan tahunan, penggal, mingguan dan harian. Di dalam bilik darjah, guru juga menghadapi tekanan dengan karenah dan bilangan murid yang ramai. Faridah dan Zubaidah (1999) juga mengakui profesion guru amat mencabar kerana mereka bukan setakat mengajar, malah terpaksa menangani masalah pelajar nakal dan kerja-kerja perkeranian yang menuntut masa yang banyak untuk diselesaikan. Beberapa reformasi yang berlaku dalam pendidikan adalah seperti KBSR, KBSM dan KSSR dilihat seperti menambahkan lagi bebanan kerja guru yang sedia bertimbun. 

Menurut Dunham (1992), terdapat lima faktor utama yang menyebabkan berlakunya tekanan kerja guru iaitu salah laku pelajar, beban tugas, keperluan penghargaan, kekangan masa dan tekanan kerja di kalangan guru sekolah dan hubungan interpersonal. Keadaan ini juga berlaku di Malaysia seperti mana yang dinyatakan oleh Faridah dan Zubaidah (1999) di mana guru berhadapan dengan masalah sosial, anak muda yang terbiar dan masalah disiplin yang menakutkan serta disusuli pula oleh tekanan kerja yang kuat. Di samping itu, faktor beban tugas juga banyak mempengaruhi proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Di dalam bilik darjah guru berhadapan dengan masalah salah laku pelajar yang mana faktor ini dipercayai antara faktor yang menyebabkan guru - guru di sekolah menengah menghadapi tekanan. Guru - guru terpaksa berhadapan dengan masalah pelajar-pelajar yang suka membuat bising, biadap atau kurang ajar dan kesukaran mengawal pelajar dalam kelas.

Sehubungan itu, kita perhatikan bahawa faktor penghargaan merupakan faktor yang boleh menyebabkan tekanan kerja kepada guru. Faktor penghargaan ini merujuk kepada penghargaan yang sepatutnya diberikan kepada guru-guru yang rajin, berdedikasi, dan cemerlang dalam akademik dan kokurikulum. Terdapat guru-guru yang benar-benar memberi komitmen yang tinggi dalam pengajaran dan pembelajaran, namun penghargaan yang sewajarnya masih belum diperolehi. Selain itu, terdapat guru-guru yang tidak berpeluang untuk kenaikan pangkat dan masih diiktiraf senioritinya untuk memegang sesuatu jawatan. 

Adakalanya pandangan, pendapat dan suara guru-guru terhadap kebaikan sekolah tidak dihargai atau kurang mendapat perhatian yang baik dari pihak pentadbiran sekolah. Ini juga boleh menimbulkan perasaan tersinggung dan kecewa sehingga menyebabkan guru - guru itu menjadi kurang proaktif lagi. Terdapat segelintir guru yang melihat gaji yang diterima tidak seimbang dengan tugasnya sedangkan mereka ini mengharapkan gaji yang seimbang dengan tugas-tugas yang ditanggungnya. Sepatutnya apabila guru - guru tersebut memegang sesuatu jawatan atau tugas yang berat, pihak pentadbir harus peka terhadap mereka yang dibebani kerja yang banyak.

Faktor kekangan masa dan sumber merupakan faktor seterusnya yang menjadi penyebab berlakunya tekanan kerja kepada guru. Kekangan sumber merujuk kepada kekurangan peralatan dan kemudahan pengajaran dan pembelajaran, keadaan bilik guru, kekurangan kelas, tuntutan sukatan pelajaran dan lain-lain. Kekangan masa pula ialah kekurangan masa guru-guru untuk mengajar, menghabiskan sukatan pelajaran yang diajar, pelajar dan masa rehat yang singkat. Pelbagai kursus juga perlu dihadiri oleh guru, kadang kala memakan masa yang lama sehingga terpaksa meninggalkan kelas yang diajar. Tambahan pula, guru tersebut tidak dapat menghabiskan sukatan pelajaran bagi mata pelajaran yang diajarnya. Setelah tamat kursus, guru perlu menghabiskan dan menyiapkan tugasan yang tertangguh sebelum ini. Ini tentunya akan menambahkan tekanan kerja kepada guru tersebut.

Faktor hubungan interpersonal dalam sekolah juga merupakan faktor yang menyebabkan berlakunya tekanan di kalangan guru - guru. Hubungan antara personal ini merujuk kepada hubungan guru dengan guru, guru dengan pengetua, guru dengan pegawai dan jabatan pendidikan, hubungan guru dengan staf sokongan, hubungan guru dengan pelajar dan hubungan antara guru dengan ibu bapa, penjaga atau waris pelajar. Perhubungan yang ada kalanya dingin antara guru - guru dengan personal yang terdapat di sekolah akan mempengaruhi dan memberikan implikasi yang kurang baik terhadap kualiti kerja guru - guru tersebut.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Lok Yim Pheng juga mengulas dengan terperinci mengenai tugas guru yang semakin bertambah saban hari, minggu dan bulan. Sekiranya terdapat isu negara, maka menteri yang berkenaan akan mengesyorkan supaya kurikulum mengenai isu tersebut ditambah dengan tujuan untuk membendung gejala yang berlaku. Umpamanya kes buang bayi dan dera bayi yang kian berleluasa masa kini. Ada pihak yang mengesyorkan supaya kurikulum sekolah ditambah. Sebelum ini ada isu yang dibangkitkan supaya pendidikan seksual dijadikan kurikulum sekolah. Pihak guru pula saban hari dibebani dengan pelbagai tugas yang semakin mencabar. Pembangunan profesionalisme diri guru sentiasa dituntut, komitmen guru sentiasa dipertikaikan sementara sebaliknya pengorbanan guru kelihatan agak kurang ditonjolkan oleh masyarakat. Kementerian Pelajaran Malaysia telah melakukan pelbagai usaha dengan mengadakan pelbagai insentif daripada segi kenaikan pangkat dan gaji serta elaun. Apa yang menjadi isu masa kini ialah penghormatan yang ditagih daripada masyarakat umum. Ibu bapa seharusnya memberikan penghormatan yang tinggi kepada kerjaya guru dengan memberikan kerjasama yang tinggi demi memartabatkan profesion ini. Masyarakat janganlah asyik menyalahkan guru sahaja apabila terdapat isu yang melibatkan murid atau anak - anak mereka. Kita perlu menangani masalah yang timbul bersama - sama dengan guru secara permuafakatan dengan menggunakan saluran yang tertentu dengan bijaksana.

Berbalik kepada isu beban tugas yang semakin bertambah, isu ini sudah pun lama wujud dan sentiasa menjadi rungutan semua warga guru. Malahan, isu perbualan sesama guru ketika berbual sama ada di kantin sekolah, bilik guru, ketika berjumpa di pasaraya, pasar ketika membeli ikan, restoran dan sebagainya tak boleh lari daripada memperkatakan hal - hal mengenai beban tugas yang tak pernah berkesudahan. Menurut Lok Yim Pheng, guru banyak membazirkan masa mengajar mereka dengan membuat kerja - kerja yang diarahkan oleh phak - pihak tertentu. Amat malang perkara ini berlaku sebab tugas guru adalah mengajar dan mendidik murid dengan penuh tanggung jawab. 

Berdasarkan segala bebanan dan cabaran semasa yang perlu dihadapi oleh setiap insan yang bergelar seorang guru, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) telah mencadangkan satu mekanisma baru berkenaan pengambilan guru pembantu atau disebut guru kedua yang akan ditempatkan di dalam kelas melebihi 35 orang murid di sekolah rendah dan 40 murid di sekolah menengah. Antara rasional yang dikemukakan ialah, ia mampu mengurangkan beban tugas guru, sekali gus dapat menjamin keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P). Rata – rata  guru juga sangat menyokong syor untuk menempatkan dua guru dalam kelas yang mempunyai ramai murid walaupun Kementerian Pelajaran belum mempunyai perancangan melaksanakannya. Ini bermakna cadangan diterima baik dan mereka tentunya mempunyai pendapat masing - masing berhubung perkara ini.

Tokoh - tokoh akademik juga mengesyorkan supaya jawatan pembantu guru diwujudkan (BH 2 April 2010). Kewujudan jawatan ini akan dapat mengurangkan beban tugas pengkeranian yang semakin bertambah dalam kalangan guru. Kalau di negara maju, ramai sukarelawan yang dibenarkan menjalankan tugas membantu guru dalam sekolah. Anggota polis, bomba dan lain-lain jawatan dibenarkan masuk ke sekolah dan memberikan khidmat mereka mana yang sesuai, dan sekali gus dapat membantu meringankan beban tugas guru. Ibu bapa juga digalakkan masuk ke sekolah bagi membantu guru, seperti membantu dalam pusat sumber dan sebagainya. Kementerian Pelajaran Malaysia perlu mengambil langkah proaktif dalam memperkenalkan kaedah ini. Mungkin satu sistem atau mekanisme tertentu dapat diwujudkan oleh KPM selepas jawatankuasa yang ditubuhkan ini mendapat maklumbalas yang terperinci mengenai masalah yang berlaku. Pihak sekolah juga perlu proaktif dan inovatif bagi mencari jalan penyelesaian, kemungkinan melalui PIBG, ahli - ahli PIBG yang mempunyai kemahiran dalam bidang - bidang tertentu dapat menyumbang tenaga bagi membantu guru. Dalam hal ini, pihak sekolah juga perlu memainkan peranan bagi mendekatkan sekolah dengan masyarakat. Kini apa yang berlaku adalah terdapat jurang antara sekolah dengan masyarakat, pihak sekolah sendiri agak terasing dan terpencil dengan masyarakat sekelilingnya. Kita harus sama-sama memikirkan bagaimana sekolah dan masyarakat dapat digembelingkan dalam usaha membantu mengurangkan beban tugas guru. Saudara Norhisyam Mohamad, yang mewakili Pemuda UMNO Bahagian Kuala Kedah (Berita Harian 2 April 2010) mengesyorkan supaya jawatankuasa yang ditubuhkan ini mendapatkan laporan daripada akar umbi supaya apa yang sebenarnya berlaku dapat diketahui dengan lebih tepat. 

Pada pandangan saya, cadangan itu memang bertepatan dengan keperluan pendidikan masa kini. Ini sudah pasti akan mengurangkan bebanan kerja yang terpaksa dihadapi oleh guru – guru di negara kita. Sudah semestinya guru akan menjadi lebih proaktif dan kreatif dalam menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran. Hal ini akan dapat melonjakkan lagi pencapaian murid – murid terutamanya dalam bidang akademik dan sahsiah. Secara umumnya, guru pembantu atau guru kedua yang dimaksudkan bukan melaksanakan tugas mengajar secara langsung seperti tugas guru sedia ada. Ia lebih kepada membantu melaksanakan tugas - tugas perkeranian di dalam kelas termasuk pengurusan program teknologi maklumat dan komunikasi serta menguruskan perkara - perkara yang melibatkan murid, misalnya masalah sakit atau demam ketika berada dalam kelas. Dengan wujudnya jawatan guru kedua ini, perjalanan kelas tidak akan tergendala hanya kerana guru terpaksa menumpukan perhatiannya kepada seorang murid yang mempunyai masalah tadi. Hal itu akan diselesaikan oleh guru kedua yang dilantik. Ringkasnya, kebanyakan tugas guru kedua yang dicadangkan itu hampir sama dengan tugas Jawatan Pembantu Pengurusan Murid yang ditempatkan di pra sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia. Berdasarkan senarai tugas umum yang ditetapkan pada cadangan berkenaan. Guru kedua hanya membantu dalam tugas - tugas sampingan. Jadi isu pertindihan tugas terutamanya yang melibatkan proses pengajaran dan pembelajaran secara teorinya tidak timbul. Jika cadangan ini diterima, guru pertama hanya akan menumpukan sepenuh perhatiannya kepada sesi pengajaran dan pembelajaran sahaja.

Saya juga berpendapat bahawa adalah wajar khidmat guru kedua diwujudkan bukan sahaja disediakan di kelas yang bilangan muridnya melebihi 35 orang murid sekolah rendah dan 40 orang murid sekolah menengah, tetapi guru kedua patut ada di semua sekolah rendah dan menengah di negara ini. Bukan bermaksud setiap kelas pembelajaran perlu ada guru pengganti. Memang tidak logik jika Sekolah Kurang Murid (SKM) yang muridnya cuma 5 orang dalam sebuah kelas juga disediakan guru kedua, tetapi mungkin ada baiknya diwujudkan satu standard atau mekanisma khas yang boleh diguna pakai untuk menentukan bilangan yang sesuai ditempatkan berdasarkan nisbah murid di sekolah, misalnya 1 guru pengganti untuk 50 orang murid. Jadi sekolah yang memiliki saiz murid kurang daripada 100 orang boleh ditempatkan 1-2 orang guru pengganti. Manakala bagi sekolah yang berskala besar, cadangan 1 guru pengganti bagi kelas melebihi 35 orang murid bagi sekolah rendah dan 40 orang pelajar sekolah menengah boleh diteruskan.

Cadangan ini bukan bermakna warga pendidik tidak pernah bersyukur atau terlalu meminta tanpa mengenal makna kepuasan ibarat “diberi betis hendakkan paha”, tetapi menurut Laporan Jawatankuasa Khas Menangani Isu Beban Tugas Guru 2010, guru - guru hari ini secara umumnya banyak terlibat dengan program - program di luar sekolah, antaranya termasuklah terlalu banyak penyertaan dalam kokurikulum dan sukan sehingga menjejaskan prestasi pengajaran murid serta amalan profesional keguruan. Itu memang jelas dan sudah lama berlaku dalam pelaksanaan pendidikan di negara kita. Bukan sekadar aktiviti kokurikulum dan sukan, guru - guru juga terlibat dalam menguruskan hal - hal berkaitan murid seperti pengurusan bantuan persekolahan, pengurusan data maklumat murid dan pentadbiran sekolah. Dalam bidang kurikulum pula, setiap kali kementerian melaksanakan program pendidikan yang baru, contohnya pada masa ini program Literacy and Numeracy Screening (LINUS), Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuhkan Penguasaan Bahasa Inggeris (MBMMBI), Semakan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), guru - guru akan menghabiskan masa beberapa hari di luar sekolah untuk mengikuti kursus atau taklimat yang berkenaan. Keadaan ini secara tidak langsung menyebabkan guru terpaksa meninggalkan murid mereka di sekolah dan sudah pasti aktiviti pengajaran dan pembelajaran pada minggu itu akan terbantut dan murid – murid akan ketinggalan. Hal ini memang tidak dapat dinafikan akan merugikan murid – murid itu sendiri.

Memang tidak dapat dinafikan tentu ada pandangan berlawanan dengan pandangan di atas, antaranya segelintir individu mungkin beranggapan yang khidmat guru kedua akan menyebabkan tugas guru bertambah mudah. Guru hanya setengah hari dan mendapat kemudahan cuti yang lebih banyak berbanding kakitangan awam lain di negara ini. Khidmat guru kedua pula tentu akan menggalakkan guru - guru untuk meninggalkan kelas dengan pelbagai alasan. Di pihak kementerian pula, “kajian mendalam perlu dilakukan dengan teliti dan tentu mengambil masa yang lama untuk diputuskan” atau “peruntukan kerajaan tidak mencukupi untuk membayar emolumen kakitangan baru” tentunya akan menjadi jawapan yang paling asas. Bagaimanapun, kerajaan khususnya melalui Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) sudah lama bertekad untuk memastikan guru - guru di Malaysia memiliki kemahiran dan kualiti kerja cemerlang supaya pendidikan negara kita setanding dengan pendidikan negara lain di dunia. Malah “Guru Malaysia Teras Pendidikan Bertaraf Dunia” pernah dipilih sebagai tema Hari Guru pada tahun 1996. Manakala pada tahun 1999, “Guru Berkesan Pendidikan Cemerlang” menjadi sasaran untuk dicapai.

Malangnya, bagaimana kita hendak melahirkan guru yang berkesan seterusnya menghasilkan “produk” kita setaraf dengan negara - negara lain di dunia sedangkan dari segi pelaksanaan kita sudah jauh berbeza. Satu contoh yang mungkin boleh dikongsikan di sini ialah nisbah guru dan murid di negara lain berbanding negara kita:

Belgium: 15 murid
Amerika Syarikat: 14 murid
Denmark: 10 murid
Singapura: 17 murid
Thailand: lebih 30 murid
Indonesia: lebih 30 murid
Malaysia : lebih 30 murid

Sumber: Institusi pendidikan negara terbabit dan UNICEF (Dipetik daripada Berita Harian Online 14 Disember 2010)

Tidak dinafikan, adalah cukup sukar untuk negara kita menetapkan nisbah guru dan murid sama seperti negara maju dalam senarai di atas kerana ia bukan sahaja melibatkan perjawatan, tetapi juga melibatkan peruntukan besar dalam menyediakan prasarana pendidikan yang mencukupi. Namun, langkah menyediakan khidmat guru pengganti di sekolah tentunya sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban tugas guru dan seterusnya mereka akan dapat menumpukan perhatian yang lebih terhadap tugas mengajar. Guru pembantu atau guru kedua pula boleh menumpukan perhatian pada tugas sampingan di dalam kelas.

Kesimpulannya, jawatan pembantu guru atau guru kedua yang dicadangkan diatas merupakan satu penyelesaian kepada isu bebanan tugas guru yang terlalu banyak. Kebanyakkan pihak bersetuju dan berharap agar jawatan ini dapat diwujudkan dengan seberapa segera. Namun menurut sumber daripada Kementerian Pendidikan seperti yang disiarkan dalam ruangan surat BH Online, penempatan guru pembantu ditangguhkan kerana tiada jawatan baru diluluskan agensi pusat dalam masa terdekat. Warga pendidik hanya dapat terus berharap agar cadangan ini benar – benar menjadi kenyataan dan memberikan impak positif kepada pembangunan pendidikan negara.

Disediakan oleh:
Mohd Alias bin Harun

ISU: GURU ROTAN MURID


“Patut atau tidak pelajar sekolah dirotan?”




1.0 Pengenalan

Dalam usaha mencapai misi Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), iaitu membangunkan potensi individu melalui pendidikan berkualiti, banyak cabaran pendidikan akan dihadapi. Sejajar dengan ini, KPM telah menyediakan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 yang bermatlamat melahirkan modal insan yang cemerlang dengan minda kelas pertama melalui pendidikan berkualiti. Pendidikan yang berkualiti merupakan usaha dan pemangkin untuk membangunkan generasi alaf baharu. Sistem pendidikan Negara memerlukan usaha-usaha yang dirancang secara sistematik untuk meningkatkan keupayaan dan kemampuan amalannya demi menangani cabaran-cabaran abad ke-21.

Menurut Noriati A. Rashid (2010), sejak tahun 1997, dua cabaran pendidikan alaf baharu yang kerap diutarakan dalam persidangan nasional ialah ledakan ilmu yang berbentuk global dan masalah sosial yang perlu ditangani dan diatasi ke arah membentuk masyarakat madani. Dalam mengejar arus modenisasi, pelajar terdedah kepada pelbagai cabaran. Contohnya, kemunculan telefon bimbit, laman sosial Facebook, dan budaya sekeliling yang tidak sihat menyebabkan pelajar mudah terlibat dengan masalah sosial.

Gejala sosial di sekolah kini semakin meruncing akibat daripada pengaruh luar dan perubahan yang berlaku dalam masyarakat. Antara factor penyebab gejala sosial terdiri daripada peranan ibu bapa, sikap pelajar itu sendiri, pengaruh media massa dan iklim bilik darjah. Menurut Noriati A. Rashid (2010) lagi, sikap ibu bapa dan cara mendidik anak-anak merupakan salah satu penyebab utama berlakunya gejala sosial dalam kalangan pelajar. Jadi, adalah menjadi tugas penting guru untuk membantu mendidik dan membimbing pelajar ke arah menjadi insan yang berguna.


2.0 Isu “Patut atau tidak pelajar sekolah dirotan?”

Berdasarkan artikel yang dimuatkan dalam Rencana Utusan Online bertarikh 25 Julai 2012, penulis menyatakan “patut atau tidak pelajar sekolah dirotan?”. Saya yakin penulis mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang pendidikan kerana beliau kini merupakan Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad, satu pertubuhan yang berperanan menjaga kebajikan para guru di Malaysia. Oleh itu pastinya isu ini menjadi bahan bualan warga guru khususnya bagi mengawal disiplin pelajar yang kian meruncing kini. Menurut beliau walaupun ada pendapat yang menentang namun ada juga yang menyokong kerana merasakan guru mempunyai peranan besar membantu menangani salah laku pelajar. Relevan ataupun tidak, ianya bergantung pada niat dan cara yang dilakukan guru tersebut mengikut keadaan.

Guru memainkan peranan yang penting dalam melaksanakan disiplin sekolah kerana guru adalah orang yang rapat sekali dan mempunyai hubungan langsung dengan murid. Oleh sebab itu pelaksanaan disiplin sekolah adalah tanggungjawab dan tugas setiap guru dan bukan semata tanggungjawab Guru Besar, Penolong Kanan dan Guru Disiplin sahaja. Guru memainkan peranan dan tanggungjawab bukan sahaja setakat mengajar tetapi juga mendidik. Mereka membentuk sikap, nilai dan akhlak para pelajar melalui pembentukan disiplin yang baik. Dalam buku Pengurusan Sekolah ada menyatakan bahawa matlamat akhir guru adalah membentuk disiplin kendiri yang baik. Penulisnya Omardin Ashaari juga ada menyatakan peranan guru dalam melaksanakan disiplin adalah dengan mengawas disiplin dalam bilik darjah, disekitar sekolah dan dalam kegiatan luar sekolah.


3.0 Analisis Isu “Patut atau tidak pelajar sekolah dirotan?”

Dalam satu sudut yang positif untuk mendidik, saya berpendapat guru wajar merotan murid jika murid yang dirotan benar-benar melakukan kesalahan. Cuma cara dan pelaksanaan guru mestilah mengikut etika berdasarkan Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 7/2003: Kuasa Guru Merotan Murid yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Dalam pekeliling tersebut ada menyatakan PERATURAN 5(1)(b), PERATURAN-PERATURAN PELAJARAN (DISIPLIN SEKOLAH) 1959, di bawah ORDINAN PELAJARAN 1957:



Peraturan 5(1) (b)

hukuman dera kepada murid-murid lelaki oleh seseorang guru atau lain-lain kakitangan sekolah adalah dihadkan kepada merotan dengan rotan yang ringan di tapak tangan atau pun di punggung yang berlapik dengan pakaian dan hendaklah difahamkan hanya oleh Guru Besar ataupun dengan kuasa nyata yang diberi olehnya dalam hal yang tertentu.

Namun begitu, hukuman dalam peraturan di atas tidak boleh dilakukan sewenang-wenagnya tanpa perbicaraan yang jelas menunjukkan murid melakukan sesuatu kesalahan yang berat secara berulang kali. Hal ini kerana dalam kajian Reynolds (1977) menunjukkan bahawa sekolah yang kadar hukuman deranya tinggi mempunyai lebih masalah tidak berdisiplin daripada sekolah yang lain. Jadi masalah tidak berdisiplin perlu ditangani dengan bijak oleh pihak sekolah dan pihak lain-lain yang berkenaan untuk mengelakkan kes-kes yang lebih teruk berlaku.

Kuasa guru dalam melaksanakan undang-undang disiplin tidak dapat dipertikaikan lagi kerana ia telah termaktub dalam Ordinan tapi perlu mengikut prosedur yang telah ditetapkan dalam Peraturan 4, Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) iaitu dengan mengamalkan keadilan, tidak boleh menghukum seseorang tanpa belaan dirinya dan setiap individu yang dituduh hendaklah diberi peluang dan hak untuk didengar. Oleh itu, guru mestilah adil dalam menjatuhkan hukuman kepada pelajar dan pelajar juga perlu diberi peluang untuk mengemukakan alasan-alasan terhadap perlanggaran disiplin itu untuk membela diri mereka.

Dalam Teori Skinner ada menyatakan bahawa dendaan adalah satu proses atau tatacara untuk melemahkan atau mengurangkan berulangnya tingkah laku yang tidak diingini. Tegasnya, dendaan adalah kesan negatif yang membawa kepada pengurangan dalam kekerapan berlakunya tingkah laku tersebut. Jadi, merotan merupakan satu dendaan memberi kesan negatif kepada pelajar dan ianya boleh dijadikan sebagai langkah pencegahan daripada berlakunya tingkah laku yang tidak diingini secara berulang kali.

Hukuman merotan merupakan satu denda yang dikenakan ke atas murid yang bersalah bagi membentuk disiplin murid tersebut. Peters dalam bukunya yang bertajuk Ethics and Education (1966) dan The Logic of Education (1970) telah mendefinisikan denda sebagai mengenakan kesakitan dengan sengaja oleh orang yang berautoriti ke atas seseorang yang melanggar peraturan dan ke atas sesorang yang melakukan sesuatu yang tidak menyenangkan. Kita hendaklah memahami bahawa kuasa merotan murid yang diberikan kepada pengetua/guru besar dan guru-guru (yang diberikan kebenaran bertulis oleh pengetua/guru besar) bukanlah semata-mata untuk mendera atau mencederakan murid sehingga meninggalkan bekas di badan, menyebabkan mereka berasa malu dan trauma untuk datang ke sekolah. Tetapi ianya untuk mendisiplinkan murid, membantu mereka agar lebih terarah dan lebih bertanggungjawab dalam mematuhi peraturan sekolah.

Denda boleh juga dikatakan sebagai insentif untuk memperbetulkan tingkah laku pelajar. Seorang ahli kaji jiwa telah menyatakan bahawa insentif atau dorongan yang negatif amat penting dalam kehidupan seharian. Mendenda bukanlah perkara yang disukai oleh guru dan pelajar. Biasanya, perkara ini boleh dielakkan tetapi guru perlu mengetahui bila, bagaimana dan dendaan jenis apa yang sesuai untuk digunakan. Dendaan perlu dibezakan daripada dendam dan benci. Menurut Peters dalam bukunya Ethics and Education (1966), kesalahan yang dihukum merupakan kes membalas dendam dan bukan dendaan jika yang menghukum itu tidak ada autoriti. Sebagai contoh pelajar telah membocorkan tayar kereta guru. Dalam hal ini, jika guru menghukum pelajar atas alasan kerugian yang telah beliau alami, maka ini adalah kes membalas dendam. Namun begitu jika pelajar dihukum oleh guru kerana kesalahan membocor tayar, maka ia adalah satu kes denda.

Oleh itu, guru perlulah mengambil perhatian apakah tujuan mereka menghukum dan juga melihat kepada autoriti diri sama ada dibenarkan ataupun tidak. Selain itu, jenis dan kadar hukuman yang dikenakan juga perlu dipertimbangkan. Hal ini adalah kerana apabila dendam yang terlibat biasanya hukuman yang dikenakan adalah lebih berat daripada yang sewajarnya. Para guru perlu berhati-hati dalam menggunakan denda supaya tidak dieksploitasi oleh pelajar. Dalam artikel tersebut juga menyatakan ada pihak berpendapat jika masalah disiplin tidak ditangani dengan betul ketika pelajar berada di bangku sekolah dikhuatiri boleh menimbulkan masalah lebih besar apabila mereka meninggalkan sekolah nanti. Jadi pada pandangan positif saya, hukuman merotan yang dikenakan dengan cara yang betul sedikit sebanyak dapat membantu ke arah mencegah murid melakukan kegiatan jenayah dan aktiviti yang tidak sihat ketika sudah keluar dari alam persekolahan.

Abdul Rahman dan Zakaria Kasa dalam bukunya Falsafah dan Konsep Pendidikan telah membahagikan dendaan kepada tiga jenis iaitu teori pembalasan, teori pencegahan dan dendaan berbentuk pemulihan. Teori pertama iaiatu pembalasan adalah dengan melihat kembali atau ke belakang akan kesalahan yang dilakukan dan memastikan bahawa dendaan adalah sesuai dengan kesalahan. Walau bagaimanapun, adalah sukar untuk menentukan jenis dendaan yang sesuai dengan pelanggaran peraturan yang dilakukan oleh pelajar. Oleh itu faedah dendaan berbentuk pembalasan adalah kurang kerana kemungkinan tingkah laku pelajar masih tidak dapat diubah malahan boleh membangkitkan perasaan marah dalam diri pelajar kepada gurunya.

Seterusnya, teori pencegahan mengatakan bahawa dendaan yang dikenakan adalah bertujuan untuk mencegah daripada berulangnya pelanggaran tingkah laku. Apa yang menjadi isu dalam teori ini ialah pertenglingkahan di antara keadilan dan pertimbangan untuk kepentingan ramai. Sebagai contoh guru mendenda semua pelajar yang berada dalam kelas apabila guru gagal mencari pelajar yang melakukan kesalahan. Guru sepatutnya membuat pilihan di antara keadilan dan kepentingan ramai. Daripada contoh tadi guru telah mengambil keputusan mencegah untuk kepentingan ramai daripada mengutamakan keadilan kerana pesalah yang sebenar tidak dikenakan hukuman. Sedangkan apabila guru mendenda semua pelajar, guru telah menganiayai pelajar yang tidak bersalah.

Berkaitan dendaan berbentuk pemulihan, seorang penulis Nash (1966) berpendapat bahawa dendaan jarang-jarang sekali memulih pembuat kesalahan kecuali ada perhubungan yang benar-benar mesra serta penuh dengan kasih sayang di antara yang membuat kesalahan dan yang mendenda. Tetapi tidak ramai guru yang mempunyai pengetahuan dan kemudahan yang ada pada mereka dapat memulih pelajar-pelajar liar. Jika kita lihat sekarang ini majoriti sekolah mengadakan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di mana pakar-pakar psikologi ditempatkan untuk menolong memulihkan pelajar-pelajar berkenaan. Teori ini lebih banyak mendidik pelajar menjadi manusia berguna kerana pemulihan yang dibuat telah menggantikan dendaan. Teori ini juga sesuai dengan situasi sekolah yang bersifat pemulihan, pendidikan atau perubahan ke arah yang lebih baik. Namun begitu, ketiga-tiga bentuk teori dendaan yang disebutkan tadi mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Jadi guru perlu bijak memilih dan mengadun ketiga-tiga teori tersebut dalam mendidik murid.

Menurut bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Dr. Abdul Hamid Othman, adalah wajar memukul sebagai satu hukuman terhadap salah laku kanak-kanak dan ini dibenarkan sendiri dalam Islam kerana ia adalah kaedah pengajaran yang berkesan. Beliau juga berpendapat ibu bapa sepatutnya memberi sedikit kelonggaran kepada guru untuk memukul anak mereka yang melakukan kesalahan bagi membentuk disiplin dan keperibadian mereka. Ini kerana apabila seseorang pelajar menerima hukuman seperti rotan, pelajar tersebut akan merasa sakit dan serik untuk melanggar peraturan sekolah lagi. Manakala pelajar-pelajar lain yang melihat hukuman ini dijalankan juga akan merasa ngeri untuk melakukan kesalahan tersebut. Oleh itu masalah pelanggaran disiplin dapat diatasi.

Kerjaya guru bukanlah seperti mata-mata gelap yang harus mancari semua kesalahan pelajar den kemudiannya mengenakan denda. Guru mesti tahu bila dan bagaimana menggunakan denda yang tidak merosakkan. Ada guru yang berpendapat bahawa denda hanya sesuai untuk tingkahlaku yang diulang, tetapi jika pelajar menunjukkan usaha membaiki tingkah lakunya, maka jangan dikenakan denda. Ada benarnya pendapat ini kerana pelajar yang telah sedar akan kesalahannya tetapi masih dikenakan denda akan hilang keyakinan kepada guru berkenaan. Denda disarankan digunakan apabila sudah tiada jalan yang sesuai lagi.

Rasulullah SAW pernah menunjukkan cara terbaik dalam memberikan didikan menerusi sabda yang bermaksud:

“Suruhlah anak kamu menunaikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka jika tetap enggan bersolat apabila umur mereka sepuluh tahun.”
(Hadis Riwayat Abu Daud)

Demikianlah contoh dianjurkan Rasulullah SAW bahawa pembelajaran itu tidak dimulai dengan rotan atau hukuman. Malah ia perlu didahului dengan pelbagai cara dan pendekatan yang mampu menarik minat seseorang itu melaksanakannya. Nasihat, perkataan baik, teguran lembut tetapi tegas adalah tindakan terbaik mentarbiah pelajar di sekolah. Jika cara itu gagal barulah dikenakan hukuman berbentuk kekerasan bertujuan semata-mata untuk mendidik, bukan mencederakan hingga menyebabkan kecacatan fizikal atau mental. Hal ini sesuai firman Allah ditujukan kepada nabi dan rasul yang ditugaskan mendidik umat, yang bermaksud:

“Dengan rahmat Allah kepada diri kamu itu, maka engkau hendaklah berlemah lembut menghadapi sikap mereka. Seandainya kamu berkeras hati dan (sikapmu pula) kasar, nescaya mereka akan berpaling dari sekelilingmu.”
(Surah Ali-Imran, ayat 159)

Menurut Bandura (1961) pula, denda mengurang dan mengawasi tingkah laku tetapi dengan sendirinya tidak mengajar tingkah laku yang diingini atau mengurangkan keinginan untuk bertingkah laku buruk. Oleh sebab itu mendenda perlulah dibuat setimpal dengan tingkahlaku yang bermasalah atau syarat juga boleh dikenakan supaya pelajar berusaha mengelakkan denda dengan memperbaiki tingkah lakunya. Denda boleh diberi dalam pelbagai bentuk iaitu menyisih atau mengasingkan pelajar yang bermasalah dari kumpulan, menghadkan hak-haknya, dan memberikan kritikan yang tajam. Pendapat Bandura (1961) menunjukkan bahawa terdapat banyak lagi dendaan yang boleh diberikan kepada murid selain merotan.

Bagaimanapun disamping memberi kesan yang positif terhadap pelaksanaan hukuman rotan, ia juga turut memberi kesan negatif kepada pelajar. Hal ini kerana walaupun hukuman ini diiktiraf dan diakui keberkesanannya pada suatu ketika dulu, tetapi kaedah ini dikatakan tidak sesuai pada masa sekarang memandangkan keadaan persekitaran yang berubah. Justeru itu keberkesanan hukuman rotan perlu dinilai semula. Namun ianya tidak bermakna hukuman rotan tidak boleh direalisasikan tetapi elok dijadikan sebagai salah satu daripada alternatif yang boleh diambil. (Tamadun, 1996)

Dato’ Dr. Abdul Hamid Othman juga memberikan pendapat supaya tidak menggalakkan penggunaan rotan kerana ia boleh meninggalkan kesan fizikal kepada pelajar yang dipukul. Namun begitu dalam melaksanakan hukuman rotan, guru seharusnya berhati-hati sebelum mengambil tindakan. Hukuman yang dikenakan perlulah setimpal dengan jenis kesalahan yang dilakukan oleh pelajar. Guru sewajarnya tidak menyalahgunakan kelonggaran atau kuasa yang ada dan bertindak memukul pelajar dengan dorongan perasaan geram atau marah. Hal ini bertujuan mengelakkan gejala penderaan terhadap pelajar sekolah berlaku.



4.0 Rumusan

Apapun masalah disiplin yang timbul, pelajar perlu dikenakan hukuman atau denda baik ringan atau berat bergantung kepada tahap kesalahan yang dilakukan. Pelaksanaan hukuman ini perlu kerana ianya merupakan salah satu daripada kaedah atau cara pendidikan yang berkesan. Walaubagaimanapun sebelum pelaksanaan sesuatu hukuman, pihak ibu bapa hendaklah dimaklumkan terlebih dahulu supaya tidak timbul sebarang masalah berbangkit selepas sesuatu tindakan dilakukan. Pihak sekolah juga harus bertanggungjawab sepenuhnya terhadap tindakan yang dibuat. Hal ini bertujuan bagi memastikan sesuatu tindakan yang diambil adalah wajar dan berpatutan dengan kesalahan yang dilakukan.

Teori pembelajaran sosial yang diaplikasikan oleh Bandura (1973) merumuskan bahawa perkara utama yang sering dipelajari oleh kanak-kanak dan remaja ialah melalui pemerhatian terhadap tingkah laku orang lain, khususnya orang yang signifikan dengan mereka. Menurut Mahmood (2001), tingkah laku agresif dipelajari daripada persekitaran sosial seperti interaksi dengan keluarga, rakan sebaya, media massa dan konsep kendiri individu. Oleh kerana manusia dipengaruhi oleh persekitaran mereka, maka remaja akan memilih salah satu daripada pengaruh persekitaran mereka untuk ditauladani. Jika tingkah laku negatif ditunjukan oleh ibu bapa, maka remaja akan terikut-ikut kepada tingkah laku ibu bapa tersebut dan jika ia ditunjukan oleh rakan sebaya remaja, ia juga akan menjadi ikutan remaja.

Satu hakikat daripada aspek tarbiah yang menjadi lumrah di sekolah ialah murid kerap dipengaruhi oleh sifat, kebiasaan dan akhlak guru. Jika guru mempunyai akhlak yang baik, murid pasti terikut-ikut dan terpengaruh dengan akhlak itu, demikianlah juga sebaliknya. Jika perasaan ini timbul dengan pandangan negatif, murid bukan sahaja memusuhi gurunya, tetapi mungkin menjangkau kepada pelajaran dan seterusnya kepada seluruh sistem persekolahan dan masyarakat yang berkaitan dengannya. Menurut Syed Ismail (2010), seorang guru yang professional seharusnya berupaya membuat keputusan dan menyelesaikan masalah serta berfikiran kritis dan kreatif.

Sebagai kesimpulannya, saya berpendapat bahawa hukuman rotan wajar dilaksanakan mengikut peraturan yang telah ditetapkan. Namun berdasarkan teori pembelajaran sosial yang disebutkan tadi, semua pihak yang bertanggungjawab mempengaruhi pelajar harus membuat perubahan yang positif. Ianya sebagai langkah pencegahan awal yang penting dalam mengatasi masalah gejala sosial yang semakin meruncing dalam kalangan pelajar. Hukuman rotan adalah satu dendaan keras yang hanya sesuai dilaksanakan sebagai langkah terakhir dalam mendidik pelajar yang bermasalah.

Permasalahan disiplin yang timbul di penghujungnya hendaklah dilaksanakan dengan semangat kerjasama. Guru Besar, guru, murid malah ibu bapa hendaklah bersama berperanan dalam menyelesaikannya. Ini bermakna semua peringkat harus ada permuafakatan dalam melindungi dan mempertahankan peraturan yang sudah ditetapkan bagi mewujudkan keharmonian dalam usaha membentuk generasi pelapis mampu berdaya saing dan penuh berdisiplin.


Keratan Akhbar berkaitan...


Disediakan oleh:
Mahzan bin Abd Mutalib