Wednesday 5 September 2012

ISU: GURU KEDUA





Analisis Isu Guru Kedua

Profesion sebagai guru adalah profesion yang sungguh mencabar memandangkan tugasnya yang begitu banyak dan tanggungjawabnya yang begitu berat. Di Malaysia, persoalan mengenai tekanan kerja di kalangan guru - guru juga menjadi topik hangat yang sering diperkatakan. Basinun (1995) menyatakan antara masalah utama guru adalah masalah kenaikan gaji, peluang kenaikan pangkat dan beban kerja guru yang keterlaluan. Selain daripada tugas mendidik murid - murid, guru-guru perlu berdepan dengan karenah disiplin murid yang menambahkan lagi beban kerja guru. Muhamad (1995) memetik laporan Kongres Kesatuan Guru - Guru Malaysia menyatakan bahawa guru-guru menghadapi tekanan dengan kerja - kerja persediaan mengajar seperti menyediakan perancangan tahunan, penggal, mingguan dan harian. Di dalam bilik darjah, guru juga menghadapi tekanan dengan karenah dan bilangan murid yang ramai. Faridah dan Zubaidah (1999) juga mengakui profesion guru amat mencabar kerana mereka bukan setakat mengajar, malah terpaksa menangani masalah pelajar nakal dan kerja-kerja perkeranian yang menuntut masa yang banyak untuk diselesaikan. Beberapa reformasi yang berlaku dalam pendidikan adalah seperti KBSR, KBSM dan KSSR dilihat seperti menambahkan lagi bebanan kerja guru yang sedia bertimbun. 

Menurut Dunham (1992), terdapat lima faktor utama yang menyebabkan berlakunya tekanan kerja guru iaitu salah laku pelajar, beban tugas, keperluan penghargaan, kekangan masa dan tekanan kerja di kalangan guru sekolah dan hubungan interpersonal. Keadaan ini juga berlaku di Malaysia seperti mana yang dinyatakan oleh Faridah dan Zubaidah (1999) di mana guru berhadapan dengan masalah sosial, anak muda yang terbiar dan masalah disiplin yang menakutkan serta disusuli pula oleh tekanan kerja yang kuat. Di samping itu, faktor beban tugas juga banyak mempengaruhi proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Di dalam bilik darjah guru berhadapan dengan masalah salah laku pelajar yang mana faktor ini dipercayai antara faktor yang menyebabkan guru - guru di sekolah menengah menghadapi tekanan. Guru - guru terpaksa berhadapan dengan masalah pelajar-pelajar yang suka membuat bising, biadap atau kurang ajar dan kesukaran mengawal pelajar dalam kelas.

Sehubungan itu, kita perhatikan bahawa faktor penghargaan merupakan faktor yang boleh menyebabkan tekanan kerja kepada guru. Faktor penghargaan ini merujuk kepada penghargaan yang sepatutnya diberikan kepada guru-guru yang rajin, berdedikasi, dan cemerlang dalam akademik dan kokurikulum. Terdapat guru-guru yang benar-benar memberi komitmen yang tinggi dalam pengajaran dan pembelajaran, namun penghargaan yang sewajarnya masih belum diperolehi. Selain itu, terdapat guru-guru yang tidak berpeluang untuk kenaikan pangkat dan masih diiktiraf senioritinya untuk memegang sesuatu jawatan. 

Adakalanya pandangan, pendapat dan suara guru-guru terhadap kebaikan sekolah tidak dihargai atau kurang mendapat perhatian yang baik dari pihak pentadbiran sekolah. Ini juga boleh menimbulkan perasaan tersinggung dan kecewa sehingga menyebabkan guru - guru itu menjadi kurang proaktif lagi. Terdapat segelintir guru yang melihat gaji yang diterima tidak seimbang dengan tugasnya sedangkan mereka ini mengharapkan gaji yang seimbang dengan tugas-tugas yang ditanggungnya. Sepatutnya apabila guru - guru tersebut memegang sesuatu jawatan atau tugas yang berat, pihak pentadbir harus peka terhadap mereka yang dibebani kerja yang banyak.

Faktor kekangan masa dan sumber merupakan faktor seterusnya yang menjadi penyebab berlakunya tekanan kerja kepada guru. Kekangan sumber merujuk kepada kekurangan peralatan dan kemudahan pengajaran dan pembelajaran, keadaan bilik guru, kekurangan kelas, tuntutan sukatan pelajaran dan lain-lain. Kekangan masa pula ialah kekurangan masa guru-guru untuk mengajar, menghabiskan sukatan pelajaran yang diajar, pelajar dan masa rehat yang singkat. Pelbagai kursus juga perlu dihadiri oleh guru, kadang kala memakan masa yang lama sehingga terpaksa meninggalkan kelas yang diajar. Tambahan pula, guru tersebut tidak dapat menghabiskan sukatan pelajaran bagi mata pelajaran yang diajarnya. Setelah tamat kursus, guru perlu menghabiskan dan menyiapkan tugasan yang tertangguh sebelum ini. Ini tentunya akan menambahkan tekanan kerja kepada guru tersebut.

Faktor hubungan interpersonal dalam sekolah juga merupakan faktor yang menyebabkan berlakunya tekanan di kalangan guru - guru. Hubungan antara personal ini merujuk kepada hubungan guru dengan guru, guru dengan pengetua, guru dengan pegawai dan jabatan pendidikan, hubungan guru dengan staf sokongan, hubungan guru dengan pelajar dan hubungan antara guru dengan ibu bapa, penjaga atau waris pelajar. Perhubungan yang ada kalanya dingin antara guru - guru dengan personal yang terdapat di sekolah akan mempengaruhi dan memberikan implikasi yang kurang baik terhadap kualiti kerja guru - guru tersebut.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Lok Yim Pheng juga mengulas dengan terperinci mengenai tugas guru yang semakin bertambah saban hari, minggu dan bulan. Sekiranya terdapat isu negara, maka menteri yang berkenaan akan mengesyorkan supaya kurikulum mengenai isu tersebut ditambah dengan tujuan untuk membendung gejala yang berlaku. Umpamanya kes buang bayi dan dera bayi yang kian berleluasa masa kini. Ada pihak yang mengesyorkan supaya kurikulum sekolah ditambah. Sebelum ini ada isu yang dibangkitkan supaya pendidikan seksual dijadikan kurikulum sekolah. Pihak guru pula saban hari dibebani dengan pelbagai tugas yang semakin mencabar. Pembangunan profesionalisme diri guru sentiasa dituntut, komitmen guru sentiasa dipertikaikan sementara sebaliknya pengorbanan guru kelihatan agak kurang ditonjolkan oleh masyarakat. Kementerian Pelajaran Malaysia telah melakukan pelbagai usaha dengan mengadakan pelbagai insentif daripada segi kenaikan pangkat dan gaji serta elaun. Apa yang menjadi isu masa kini ialah penghormatan yang ditagih daripada masyarakat umum. Ibu bapa seharusnya memberikan penghormatan yang tinggi kepada kerjaya guru dengan memberikan kerjasama yang tinggi demi memartabatkan profesion ini. Masyarakat janganlah asyik menyalahkan guru sahaja apabila terdapat isu yang melibatkan murid atau anak - anak mereka. Kita perlu menangani masalah yang timbul bersama - sama dengan guru secara permuafakatan dengan menggunakan saluran yang tertentu dengan bijaksana.

Berbalik kepada isu beban tugas yang semakin bertambah, isu ini sudah pun lama wujud dan sentiasa menjadi rungutan semua warga guru. Malahan, isu perbualan sesama guru ketika berbual sama ada di kantin sekolah, bilik guru, ketika berjumpa di pasaraya, pasar ketika membeli ikan, restoran dan sebagainya tak boleh lari daripada memperkatakan hal - hal mengenai beban tugas yang tak pernah berkesudahan. Menurut Lok Yim Pheng, guru banyak membazirkan masa mengajar mereka dengan membuat kerja - kerja yang diarahkan oleh phak - pihak tertentu. Amat malang perkara ini berlaku sebab tugas guru adalah mengajar dan mendidik murid dengan penuh tanggung jawab. 

Berdasarkan segala bebanan dan cabaran semasa yang perlu dihadapi oleh setiap insan yang bergelar seorang guru, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) telah mencadangkan satu mekanisma baru berkenaan pengambilan guru pembantu atau disebut guru kedua yang akan ditempatkan di dalam kelas melebihi 35 orang murid di sekolah rendah dan 40 murid di sekolah menengah. Antara rasional yang dikemukakan ialah, ia mampu mengurangkan beban tugas guru, sekali gus dapat menjamin keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P). Rata – rata  guru juga sangat menyokong syor untuk menempatkan dua guru dalam kelas yang mempunyai ramai murid walaupun Kementerian Pelajaran belum mempunyai perancangan melaksanakannya. Ini bermakna cadangan diterima baik dan mereka tentunya mempunyai pendapat masing - masing berhubung perkara ini.

Tokoh - tokoh akademik juga mengesyorkan supaya jawatan pembantu guru diwujudkan (BH 2 April 2010). Kewujudan jawatan ini akan dapat mengurangkan beban tugas pengkeranian yang semakin bertambah dalam kalangan guru. Kalau di negara maju, ramai sukarelawan yang dibenarkan menjalankan tugas membantu guru dalam sekolah. Anggota polis, bomba dan lain-lain jawatan dibenarkan masuk ke sekolah dan memberikan khidmat mereka mana yang sesuai, dan sekali gus dapat membantu meringankan beban tugas guru. Ibu bapa juga digalakkan masuk ke sekolah bagi membantu guru, seperti membantu dalam pusat sumber dan sebagainya. Kementerian Pelajaran Malaysia perlu mengambil langkah proaktif dalam memperkenalkan kaedah ini. Mungkin satu sistem atau mekanisme tertentu dapat diwujudkan oleh KPM selepas jawatankuasa yang ditubuhkan ini mendapat maklumbalas yang terperinci mengenai masalah yang berlaku. Pihak sekolah juga perlu proaktif dan inovatif bagi mencari jalan penyelesaian, kemungkinan melalui PIBG, ahli - ahli PIBG yang mempunyai kemahiran dalam bidang - bidang tertentu dapat menyumbang tenaga bagi membantu guru. Dalam hal ini, pihak sekolah juga perlu memainkan peranan bagi mendekatkan sekolah dengan masyarakat. Kini apa yang berlaku adalah terdapat jurang antara sekolah dengan masyarakat, pihak sekolah sendiri agak terasing dan terpencil dengan masyarakat sekelilingnya. Kita harus sama-sama memikirkan bagaimana sekolah dan masyarakat dapat digembelingkan dalam usaha membantu mengurangkan beban tugas guru. Saudara Norhisyam Mohamad, yang mewakili Pemuda UMNO Bahagian Kuala Kedah (Berita Harian 2 April 2010) mengesyorkan supaya jawatankuasa yang ditubuhkan ini mendapatkan laporan daripada akar umbi supaya apa yang sebenarnya berlaku dapat diketahui dengan lebih tepat. 

Pada pandangan saya, cadangan itu memang bertepatan dengan keperluan pendidikan masa kini. Ini sudah pasti akan mengurangkan bebanan kerja yang terpaksa dihadapi oleh guru – guru di negara kita. Sudah semestinya guru akan menjadi lebih proaktif dan kreatif dalam menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran. Hal ini akan dapat melonjakkan lagi pencapaian murid – murid terutamanya dalam bidang akademik dan sahsiah. Secara umumnya, guru pembantu atau guru kedua yang dimaksudkan bukan melaksanakan tugas mengajar secara langsung seperti tugas guru sedia ada. Ia lebih kepada membantu melaksanakan tugas - tugas perkeranian di dalam kelas termasuk pengurusan program teknologi maklumat dan komunikasi serta menguruskan perkara - perkara yang melibatkan murid, misalnya masalah sakit atau demam ketika berada dalam kelas. Dengan wujudnya jawatan guru kedua ini, perjalanan kelas tidak akan tergendala hanya kerana guru terpaksa menumpukan perhatiannya kepada seorang murid yang mempunyai masalah tadi. Hal itu akan diselesaikan oleh guru kedua yang dilantik. Ringkasnya, kebanyakan tugas guru kedua yang dicadangkan itu hampir sama dengan tugas Jawatan Pembantu Pengurusan Murid yang ditempatkan di pra sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia. Berdasarkan senarai tugas umum yang ditetapkan pada cadangan berkenaan. Guru kedua hanya membantu dalam tugas - tugas sampingan. Jadi isu pertindihan tugas terutamanya yang melibatkan proses pengajaran dan pembelajaran secara teorinya tidak timbul. Jika cadangan ini diterima, guru pertama hanya akan menumpukan sepenuh perhatiannya kepada sesi pengajaran dan pembelajaran sahaja.

Saya juga berpendapat bahawa adalah wajar khidmat guru kedua diwujudkan bukan sahaja disediakan di kelas yang bilangan muridnya melebihi 35 orang murid sekolah rendah dan 40 orang murid sekolah menengah, tetapi guru kedua patut ada di semua sekolah rendah dan menengah di negara ini. Bukan bermaksud setiap kelas pembelajaran perlu ada guru pengganti. Memang tidak logik jika Sekolah Kurang Murid (SKM) yang muridnya cuma 5 orang dalam sebuah kelas juga disediakan guru kedua, tetapi mungkin ada baiknya diwujudkan satu standard atau mekanisma khas yang boleh diguna pakai untuk menentukan bilangan yang sesuai ditempatkan berdasarkan nisbah murid di sekolah, misalnya 1 guru pengganti untuk 50 orang murid. Jadi sekolah yang memiliki saiz murid kurang daripada 100 orang boleh ditempatkan 1-2 orang guru pengganti. Manakala bagi sekolah yang berskala besar, cadangan 1 guru pengganti bagi kelas melebihi 35 orang murid bagi sekolah rendah dan 40 orang pelajar sekolah menengah boleh diteruskan.

Cadangan ini bukan bermakna warga pendidik tidak pernah bersyukur atau terlalu meminta tanpa mengenal makna kepuasan ibarat “diberi betis hendakkan paha”, tetapi menurut Laporan Jawatankuasa Khas Menangani Isu Beban Tugas Guru 2010, guru - guru hari ini secara umumnya banyak terlibat dengan program - program di luar sekolah, antaranya termasuklah terlalu banyak penyertaan dalam kokurikulum dan sukan sehingga menjejaskan prestasi pengajaran murid serta amalan profesional keguruan. Itu memang jelas dan sudah lama berlaku dalam pelaksanaan pendidikan di negara kita. Bukan sekadar aktiviti kokurikulum dan sukan, guru - guru juga terlibat dalam menguruskan hal - hal berkaitan murid seperti pengurusan bantuan persekolahan, pengurusan data maklumat murid dan pentadbiran sekolah. Dalam bidang kurikulum pula, setiap kali kementerian melaksanakan program pendidikan yang baru, contohnya pada masa ini program Literacy and Numeracy Screening (LINUS), Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuhkan Penguasaan Bahasa Inggeris (MBMMBI), Semakan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), guru - guru akan menghabiskan masa beberapa hari di luar sekolah untuk mengikuti kursus atau taklimat yang berkenaan. Keadaan ini secara tidak langsung menyebabkan guru terpaksa meninggalkan murid mereka di sekolah dan sudah pasti aktiviti pengajaran dan pembelajaran pada minggu itu akan terbantut dan murid – murid akan ketinggalan. Hal ini memang tidak dapat dinafikan akan merugikan murid – murid itu sendiri.

Memang tidak dapat dinafikan tentu ada pandangan berlawanan dengan pandangan di atas, antaranya segelintir individu mungkin beranggapan yang khidmat guru kedua akan menyebabkan tugas guru bertambah mudah. Guru hanya setengah hari dan mendapat kemudahan cuti yang lebih banyak berbanding kakitangan awam lain di negara ini. Khidmat guru kedua pula tentu akan menggalakkan guru - guru untuk meninggalkan kelas dengan pelbagai alasan. Di pihak kementerian pula, “kajian mendalam perlu dilakukan dengan teliti dan tentu mengambil masa yang lama untuk diputuskan” atau “peruntukan kerajaan tidak mencukupi untuk membayar emolumen kakitangan baru” tentunya akan menjadi jawapan yang paling asas. Bagaimanapun, kerajaan khususnya melalui Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) sudah lama bertekad untuk memastikan guru - guru di Malaysia memiliki kemahiran dan kualiti kerja cemerlang supaya pendidikan negara kita setanding dengan pendidikan negara lain di dunia. Malah “Guru Malaysia Teras Pendidikan Bertaraf Dunia” pernah dipilih sebagai tema Hari Guru pada tahun 1996. Manakala pada tahun 1999, “Guru Berkesan Pendidikan Cemerlang” menjadi sasaran untuk dicapai.

Malangnya, bagaimana kita hendak melahirkan guru yang berkesan seterusnya menghasilkan “produk” kita setaraf dengan negara - negara lain di dunia sedangkan dari segi pelaksanaan kita sudah jauh berbeza. Satu contoh yang mungkin boleh dikongsikan di sini ialah nisbah guru dan murid di negara lain berbanding negara kita:

Belgium: 15 murid
Amerika Syarikat: 14 murid
Denmark: 10 murid
Singapura: 17 murid
Thailand: lebih 30 murid
Indonesia: lebih 30 murid
Malaysia : lebih 30 murid

Sumber: Institusi pendidikan negara terbabit dan UNICEF (Dipetik daripada Berita Harian Online 14 Disember 2010)

Tidak dinafikan, adalah cukup sukar untuk negara kita menetapkan nisbah guru dan murid sama seperti negara maju dalam senarai di atas kerana ia bukan sahaja melibatkan perjawatan, tetapi juga melibatkan peruntukan besar dalam menyediakan prasarana pendidikan yang mencukupi. Namun, langkah menyediakan khidmat guru pengganti di sekolah tentunya sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban tugas guru dan seterusnya mereka akan dapat menumpukan perhatian yang lebih terhadap tugas mengajar. Guru pembantu atau guru kedua pula boleh menumpukan perhatian pada tugas sampingan di dalam kelas.

Kesimpulannya, jawatan pembantu guru atau guru kedua yang dicadangkan diatas merupakan satu penyelesaian kepada isu bebanan tugas guru yang terlalu banyak. Kebanyakkan pihak bersetuju dan berharap agar jawatan ini dapat diwujudkan dengan seberapa segera. Namun menurut sumber daripada Kementerian Pendidikan seperti yang disiarkan dalam ruangan surat BH Online, penempatan guru pembantu ditangguhkan kerana tiada jawatan baru diluluskan agensi pusat dalam masa terdekat. Warga pendidik hanya dapat terus berharap agar cadangan ini benar – benar menjadi kenyataan dan memberikan impak positif kepada pembangunan pendidikan negara.

Disediakan oleh:
Mohd Alias bin Harun

No comments:

Post a Comment